Mohd Na’im Ketua Hakim Syarie Pertama Dilantik Menteri Agama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pengalaman luas Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam undang-undang Syariah negara menepati pelantikannya sebagai Menteri Agama dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Na’im, 55, yang juga Ketua Hakim Mahkamah Syariah, adalah seorang daripada empat individu bukan dalam kalangan Ahli Parlimen yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, menerusi pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

Tiga individu lagi adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menerajui portfolio Kementerian Dalam Negeri; Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar Negeri.

Mohd Na’im memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah Undang-undang di UIAM dari 1990 hingga 1997 sebelum menjadi Peguam Bela & Peguam Cara Malaya pada 1997 hingga 1998.

Dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Petaling antara 1998 hingga 2001, sebelum meneruskan khidmat di Kuala Lumpur hingga 2003 dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Penyelidik, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sehingga 2005.

Mohd Na’im turut mencurah khidmat sebagai pensyarah di UKM dan UIAM pada 2003 sehingga 2008, juga sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie untuk menerajui JKSM berkuat kuasa pada 1 April 2019.

Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini juga pernah menyandang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Jawatan lain pernah disandangnya termasuklah Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di JKSM, Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mohd Na’im sebelum ini turut berpengalaman menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam serta menjadi Ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Felo Pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat bermula 1 Februari 2013 sehingga 31 Mei tahun sama.

Mohd Na’im juga Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2012 selain pernah menjadi Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) sesi 2010-2012 serta panel perunding di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Beliau turut menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam pada 2015 dan Ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selain Penasihat Syariah CIMB Islamic Bank.

Menteri baharu ini juga pernah menyertai Lembaga Penasihat Syariah bank-bank Islam tempatan dan asing serta Syarikat Takaful seperti CIMB Islamic Bank, Salihin Trustee Bhd dan American and British Investment Bank (Mauritius).

Sumber : BERITA HARIAN