Dua tahun telah berlalu sejak Presiden Mesir yang pertama terpilih secara demokrasi, Mohamed Morsi, mati di penjara, tanpa ada siasatan yang dijalankan bagi menentukan punca kematian, serta tidak ada yang ditahan bagi menjelaskan kematian beliau.
Morsi jatuh pada 17 Jun 2019 semasa berada di kandang mahkamah dan telah meninggalnya sebelum paramedik tiba.
Keluarga dan Parti Ikhwanul Muslimin, yang merupakan parti gerakan Islam di Mesir mempercayai bahawa rejim Mesir telah membunuh mantan presiden itu. Mereka menceritakan keadaan yang teruk yang berlaku di penjara dan menyatakan bahawa terdapat kecuaian perubatan yang disengajakan.
Pada bulan Mac 2017, sebuah jawatankuasa parlimen Britain mengatakan bahawa Morsi ditahan dalam keadaan yang tidak memenuhi standard Mesir atau antarabangsa.
Setelah beliau digulingkan dan ditahan pada 13 Julai 2013, Morsi pernah mengadu beberapa kali kepada para hakim sewaktu perbicaraannya mengenai cubaan membunuhnya semasa di dalam penjara.
Walaupun begitu, pihak berkuasa Mesir telah menutup fail tersebut dan mendakwa bahawa kematian Morsi adalah kematian yang berlaku secara “semula jadi”.
Ketua Jawatankuasa Hubungan Luar untuk Parti Kebebasan dan Keadilan Mesir, Mohammad Sudan, percaya bahawa ada keterlibatan antarabangsa dengan pihak berkuasa Mesir untuk menyekat pendakwaan pembunuh tersebut.
Dia menyatakan bahawa badan kehakiman Mesir telah menolak untuk mendedahkan faktor kematian Morsi.
“Sudah tentu, ini merupakan keputusan politik yang disokong oleh persekutuan antarabangsa,” katanya.
Dan ini menunjukkan bahwa Morsi mungkin terbunuh kerana penolakannya terhadap perjanjian yang berkaitan dengan isu Israel-Palestin.
Sudan mengatakan bahawa sekutu antarabangsa berusaha untuk menyingkirkan Morsi dari jawatan presiden dan setelah penahanannya ada percubaan membunuh Morsi kerana jika beliau tetap hidup ia hanya akan membimbangkan regim Mesir.
Pegawai kanan Ikhwanul Muslimin Dr Ashraf Abdul-Ghaffar memberitahu media bahawa ada pihak tertentu di London yang berjanji untuk mengemukakan tuntutan mahkamah di mahkamah Eropah dan antarabangsa, tetapi sehingga hari ini tidak ada apa yang berlaku.
Dia menambah lagi bahawa beberapa pembunuhan beramai-ramai menyusuli pemecatan Morsi dan kematiannya, seperti yang berlaku di Dataran Rabaa Al-Adawiya pada bulan Ogos 2013, dapat menekan rejim pemerintah Mesir ketika tuntutan mahkamah diajukan di mahkamah antarabangsa. Dia menyatakan seorang peguam memberitahunya, diamnya pihak antarabangsa mengenai perkara itu adalah memang”disengajakan”.
Anak lelaki Morsi, Usama telah ditahan di Mesir sejak 2016. Anak bongsunya Abdullah juga ditahan dan mati secara tiba-tiba di penjara pada 14 September 2019. Dipercayai bahawa dia juga terbunuh.
Aktivis hak asasi percaya bahawa alasan mengapa kematian Morsi tidak disiasat adalah isu politik dan sebahagian daripada konspirasi antarabangsa terhadap Ikhwanul Muslimin.
Sumber : MEMO