MOSTI akan pergiat inovasi dalam bentuk ekonomi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Inovasi dalam bentuk ekonomi adalah antara aspek yang perlu dipergiatkan dalam negara ini.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata selain itu, jumlah kehadiran individu yang memerlukan perkhidmatan di kementerian berkenaan serta kecemerlangan berkaitan sains dan teknologi juga akan diperhebatkan.

“Inovasi dalam membentuk ekonomi adalah antara aspek yang perlu dipergiatkan terutama sekali bagaimana untuk menjadikan inovasi ini mampu mencetuskan peningkatan ekonomi dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu kita juga mahu memberi sumbangan kepada dunia bagi menjadikan negara ini sebagai pengeksport dalam bidang sains dan teknologi,” katanya dalam ucapan sulungnya kepada warga kementerian secara maya selepas melapor diri hari pertama di MOSTI, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

Ketibaan Dr Adham di perkarangan kementerian berkenaan disambut oleh Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Sementara itu, Dr Adham turut berharap warga kementeriannya dapat meneruskan tindakan serta pengurusan sebelum ini bagi memastikan negara ini sentiasa berada di tahap yang maju serta kehadapan.

“Untuk itu marilah bersama membuat tekad dalam mengembleng tenaga di setiap lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar bagi membentuk satu pasukan yang kuat dan menyelusuri apa sahaja cabaran mendatang atau sedang kita laksanakan,” katanya.

Isnin lalu, Dr Adham dan barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sumber: Berita Harian