MOT Akan Umum Penambahan Penerbangan Sempena Aidilfitri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SALAK TINGGI – Kerajaan akan mengumumkan penambahan penerbangan termasuk ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga tetap untuk penerbangan seperti diumumkan sebelum ini turut dilaksanakan, bersama penambahan penerbangan itu.

Tambah beliau, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) juga telah membentangkan penambahan tersebut dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

“Mavcom telah pun melaporkan kepada kementerian dalam mesyuarat ‘post cabinet’ semalam, banyak penerbangan tambahan telah diluluskan.

“Malaysia Airlines juga akan menggunakan pesawat ‘wide body’ (pesawat lebih besar) untuk penerbangan balik ke Sabah dan Sarawak.

“Maka, kapasiti penerbangan akan bertambah, kapasiti tempat duduk akan bertambah.

“Apabila kapasiti bertambah, sudah tentu harga purata itu akan menurun. Jadi, itu pendekatan yang kita guna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di sini pada Khamis.

Program itu merupakan Inisiatif Kelestarian dijalankan oleh ERL untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

Fasa pertama projek itu melibatkan pemasangan panel solar di atas bumbung Bandar Tasik Selatan dan Stesen Salak Tinggi, serta di Depoh ERL di Salak Tinggi.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh inisiatif memperluas program tenaga diperbaharui di semua operator pengangkutan awam dan pelabuhan di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif itu adalah baik untuk kemampanan dan ia akan diperluaskan ke stesen-stesen pengangkutan awam di seluruh negara.

“Inisiatif ini sesuai dilaksanakan bagi sektor pengangkutan rel kerana banyak bumbung di atas stesen boleh digunakan untuk pasang panel solar.

“Dasar ini akan diperluaskan kepada operator seperti Prasarana, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan ada perancangan juga untuk dipasang pada stesen MRT dan LRT untuk di sekitar Lembah Kelang,” ujarnya.

– AWANI