MOTAC Giat Semarakkan Aktiviti Pelancongan, Seni Dan Budaya Terjejas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang giat menjalankan usaha pembangunan dan penyemarakan semula aktiviti pelancongan, seni dan budaya bagi mengembalikan semula sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 sejak 2019.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Norazman Othman berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh kementeriannya melalui jabatan dan agensi seperti Pejabat MOTAC Negeri, Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia, Jabatan Warisan Negara dan Istana Budaya.

“Bermula 1 April lalu, sempadan negara sudah dibuka dan semua aktiviti di bawah mana-mana agensi diberi kelonggaran untuk dianjurkan dan aktif kembali.”

“MOTAC sentiasa memastikan kesenian tradisional yang ada dapat dipromosi dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium selari dengan perkembangan teknologi semasa.”

“Menerusi Sesi Pemeriksaan Bajet 2023 yang berlangsung awal bulan lalu, setiap agensi membuat permohonan peruntukan kepada kerajaan untuk menganjurkan aktiviti bagi merancakkan semula kesenian dan budaya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Kesenian Rakyat Kelate 2022 (FKRK 2022) di Pantai Geting, di sini, malam tadi.

Norazman berkata, sepanjang pandemik COVID-19 lalu, aktiviti kesenian tetap diteruskan cuma agak terhad kerana dianjurkan menerusi alam maya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk penggiat seni dan komuniti setempat dapat memainkan peranan membantu MOTAC dalam memulihara serta mengembangkan seni budaya warisan.

“Golongan muda juga boleh membantu mempromosikan seni budaya kepada masyarakat antarabangsa dengan memanfaatkan media sosial dan kemahiran digital,” katanya.

FKRK 2022 yang berlangsung sejak 16 Jun hingga semalam adalah satu usaha kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni serta pemain industri pelancongan mengetengahkan produk kesenian ke peringkat lebih meluas.

Beliau berkata, FKRK 2022 adalah tahun kelima penganjuran di Kelantan oleh JKKN dengan kerjasama 36 jabatan dan agensi kerajaan peringkat persekutuan dan negeri serta 14 badan bukan kerajaan (NGO).

“Dengan misi untuk merancakkan kembali aktiviti kesenian di negeri ini, pelbagai acara dijalankan antaranya persembahan Makyong Patuh Syariah, wayang kulit, dikir barat, pertandingan biri-biri jangok,” tambah beliau.

Sumber: BERITA HARIAN