SIMUNJAN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) menyasarkan penganjuran 126 acara perniagaan sepanjang tahun ini yang mampu memberi pulangan bernilai RM734 juta bagi memulihkan sektor pelancongan negara.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata di bawah usaha ini, kementerian meluluskan 141 permohonan Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan 167 permohonan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) sehingga kini yang masing-masing bernilai RM20.5 juta dan RM20.75 juta.
“Sebenarnya masih ramai yang mahu memohon geran ini tapi semua peruntukan telah dipakai. Kita tidak larang sesiapa untuk terus memohon, cuma kena sabar untuk permohonan geran diluluskan tahun depan.
“Selain itu, sebanyak 23 acara dan program pelancongan dengan nilai (bantuan) RM1 juta serta 29 acara dan program ‘voluntourism’ (sukarelawan pelancongan) di seluruh negara disediakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo Baharu Voluntourism di Padang Sentral di sini hari ini.
Mengambil contoh penganjuran Program Voluntourism dan Kebudayaan Simunjan 2022, Nancy berkata ia boleh memanfaatkan ekonomi banyak pihak khususnya dalam kalangan warga tempatan.
Nancy berkata setakat semalam, program voluntourism yang dilaksanakan MOTAC sejak September 2012 itu telah melibatkan pendaftaran seramai 14,165 sukarelawan meliputi pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
“Sebelum ini program voluntourism ini dikenali sebagai 1Malaysia Voluntourism yang dibangunkan melalui inisiatif ketujuh di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7 – Voluntourism).
“MOTAC telah menjenamakan semula dan memberi nafas baharu kepada program voluntourism sedia ada dengan menyusun semula teras utama dan logo baharu,” tambahnya.
Sumber : BERNAMA