Mourinho Tolak Tawaran Jadi Jurulatih Terkaya Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Jose Mourinho menolak peluang menjadi jurulatih terkaya di dunia apabila tidak berminat dengan tawaran gaji RM153 juta setahun dari kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Pengendali Roma itu mahu fokus dengan projeknya di Stadio Olimpico selepas dua tahun bersama pasukan Serie A itu.

Al-Hilal turut merisik Massimiliano Allegri sebelum ini dengan tawaran gaji RM100 juta setahun namun ditolak pengendali dari Itali itu.

Menurut wartawan Fabrizio Romano, Mourinho menolak tawaran terbabit untuk terus kekal di Roma.

Mourinho boleh dikatakan rugi memandangkan dia akan menerima gaji sepenuhnya dari Al-Hilal kerana Arab Saudi tidak mengenakan cukai pendapatan peribadi.

Mourinho ketika ini sudahpun menerima RM47 juta setahun bersama Roma dan hanya tujuh jurulatih di seluruh dunia menerima gaji lebih lumayan daripadanya.

Diego Simeone menerima RM177 juta diikuti Pep Guardiola (RM116 juta) dan Jurgen Klopp (RM92 juta).

Mourinho membawa Roma memenangi Liga Konferens Europa pada 2021-22 sebelum tewas di final Liga Europa pada musim ini dan membawa pasukan itu menamatkan Serie A di tangga keenam.

Kontraknya masih berbaki setahun bersama Roma namun Paris Saint Germain (PSG) sebelum ini turut mengintai khidmatnya.

– BERITA HARIAN