MPK Peruntuk 9.5 Juta Perindah Landskap Bandar Kuantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperuntukkan kira-kira RM9.5 juta bagi memperindahkan landskap di sekitar Bandar Kuantan khususnya lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai projek memperindah landskap Bandar Kuantan termasuklah di kawasan sepanjang laluan bypass dengan memberi penekanan terhadap pencahayaan yang menelan belanja RM4 juta.

“Di dalam kawasan bandar pula, kita melaksanakan projek bermula di hadapan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga persimpangan Jabatan Ukur dengan peruntukan RM1.5 juta bagi kerja-kerja memperindah landskap dan pencahayaan di sepanjang laluan tersebut.

“Beberapa projek dalaman juga telah dilaksanakan seperti pengindahan landskap di persimpangan lampu isyarat selain kawasan pelancongan di Teluk Cempedak yang melibatkan beberapa komponen kerja menaiktaraf dataran dan kemudahan infrastruktur selain mencantikkan semua pantai yang berada di bawah seliaan MPK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-Royong dan Keceriaan di Medan Feri, di sini hari ini.

Program tersebut melibatkan seramai 150 pegawai dan anggota daripada pelbagai unit MPK dan komuniti setempat bagi membersihkan kawasan Medan Feri sebelum projek pembinaan dimulakan.

Projek yang menelan belanja RM3.5 juta itu bakal menyediakan kemudahan restoran, kemudahan awam seperti tempat letak kenderaan dan tandas serta taman permainan bagi menarik ramai pelancong untuk datang ke Kuantan.

Dalam pada itu katanya, MPK juga kini sedang memperindahkan sekitar Bandar Kuantan dengan memberi tumpuan di sekitar Jalan Mahkota, Jalan Besar dan kawasan lorong belakang di sepanjang bangunan kedai lama dengan kos RM500,000.

“Kita kini sedang menjalankan kerja-kerja pembangunan bagi mencantikkan kawasan lorong belakang bangunan lama dengan mural, ‘inter-locking’ baharu termasuk di Jalan Besar dan kami berharap kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menjayakan usaha ini sebagai daya tarikan baharu di bandar Kuantan,” katanya. – PAHANGMEDIA