LONDON – Beberapa pemain legenda Inggeris menghamburkan pujian awal terhadap pemain baharu Chelsea, Mykhailo Mudryk yang tampil mengagumkan ketika turun buat kali pertama sekalipun Blues hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield malam tadi.
Bekas bintang Liverpool, Steven Gerrard percaya Mudryk “kelihatan seperti satu pembelian berbaloi” selepas dia memukau beberapa ketika dengan kepantasan dan kemahirannya menggelecek bola.
Pemain berusia 22 tahun itu melakukan penampilan sulung bersama pasukan kendalian Graham Potter sejak perpindahan bernilai £88.6 juta (RM470 juta) dari Shakhtar Donetsk hujung minggu lalu.
Arsenal menjadikan Mudryk keutamaan mereka dalam pasaran perpindahan Januari tetapi Chelsea bergegas untuk melengkapkan perjanjian dengan kelab Ukraine itu dan pemain sayap itu memberikan penonton kelibat bakatnya dengan persembahan bertenaga pada babak kedua di Anfield.
“Jika saya seorang peminat Chelsea, saya pasti amat teruja dengan Mudryk,” kata Gerrard kepada BT Sport selepas perlawanan itu.
“Saya fikir ia satu persembahan cameo yang amat bertenaga. Jika dia cergas dan tentu banyak lagi akan hadir daripadanya, maka ia pasti menarik. Dia kelihatan seperti satu pembelian yang berbaloi.
“Dia mengingatkan saya sedikit mengenai (Arjen) Robben. Keupayaannya menggelecek dan betapa pantasnya dia, saya pasti amat teruja.”
Ditanya jika beliau teruja dengan persembahan Mudryk, bekas pemain sayap Chelsea, Shaun Wright-Phillips memberitahu Premier League Productions: “Ya, sudah tentu saya teruja, dia mencetus perubahan dalam permainan, kelancaran serangan dan kelangsungan dalam permainan Chelsea.
“Saya fikir jika anda datang dan bermula sebegini, anda percaya anda boleh melakukan apa saja.”
Sementara itu, bekas penyerang Liverpool Michael Owen berkata: “Saya fikir dia amat, amat mengujakan.
“Jika saya seorang penyokong Chelsea saya tidak akan meninggalkan tempat duduk saya ketika perlawanan ini. Saya fikir dia mungkin boleh mempamerkan sesuatu yang lebih menarik. Satu tambahan hebat dalam Liga Perdana.”
Potter memasukkan Mudryk pada minit ke-55 menggantikan pemain tengah Lewis Hall dalam usaha untuk merobek benteng pertahanan Liverpool ketika gol sumbangan Kai Havertz pada minit ketiga dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Mudryk berjaya melepasi kawalan James Milner sebaik dia masuk dan berjaya mencipta beberapa peluang buat Blues pada hujung perlawanan. Kebolehannya menggelecek dan sentuhannya kelihatan sempurna dan banyak lagi yang mampu mengujakan peminat Chelsea.
Sudah tentu, penyokong Arsenal juga menyaksikannya penuh minat. Malah pengulas bola sepak Gary Neville mengakui beliau tidak berminat untuk turun beraksi menentang pemain dari Ukraine itu jika beliau masih bermain.
Perlawanan berikutnya, menentang Fulham di Stamford Bridge Sabtu depan, Potter dijangka menurunkannya dalam kesebelasan utama ketika keputusan seri dengan Liverpool tidak menguntungkan mereka yang kini bergelut di tangga ke-10.
Sumber : BERITA HARIAN