Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan RM50,000 bagi membiayai proses mengambil sampel ujian calitan Covid-19 membabitkan 506 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 22 Februari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, ujian itu perlu dilakukan pada semua pelajar sebelum mereka dibenarkan menginap di asrama sekolah sebagai persiapan menduduki peperiksaan.
Menurutnya, semua pelajar terbabit belajar di 13 sekolah menengah agama (SMA) kerajaan negeri dan sekolah agama seliaan MUIP.
Mereka dibenarkan tinggal di asrama bermula semalam sebagai persediaan menduduki peperiksaan SPM.
“Ujian berkenaan dilakukan secara berperingkat. Guru dan warden asrama ditugaskan untuk mengawasi pergerakan pelajar sepanjang mereka berada di asrama.
“Pihak sekolah juga tidak akan membenarkan pelawat berada dalam kawasan sekolah bagi mengelak sebarang kemungkinan,” katanya dihubungi semalam.
Asmadi berkata, ibu bapa pelajar tidak perlu bimbang keadaan anak mereka yang tinggal di asrama kerana semua langkah pencegahan dan keselamatan sentiasa diberi perhatian.
“Saya mendoakan semoga semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada 22 Februari nanti dapat menjawab soalan dengan mudah seterusnya mendapat keputusan yang memuaskan,” katanya.
Sumber: My Metro