JERANTUT – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan menjalankan Program Cakna Asnaf di daerah di negeri ini dalam usaha mendekati golongan asnaf, sekali gus melihat masalah dihadapi seterusnya memberi bantuan yang diperlukan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, program itu juga akan menjadi antara cabang dakwah yang menjadi tanggungjawab MUIP.
“Menerusi program ini golongan asnaf berpeluang memohon pelbagai bantuan yang diperlukan. Pegawai MUIP akan membuat penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Antara bantuan layak diterima ialah bantuan kewangan dan keperluan asas secara bulanan serta kesihatan,” katanya ketika ditemui pada pertemuan dengan 60 asnaf menerusi Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti Mukim Tebing Tinggi, Jerantut di perkarangan Masjid Bukit Genting, semalam.
Program prihatin itu diadakan bagi melihat dan mendengar keluhan masalah dihadapi golongan berkenaan yang mengalami masalah kesihatan, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Dr Asmadi berkata, pada program itu, MUIP turut mengagihkan bantuan keperluan asas dan hasil produk syarikat pembayar zakat.
Turut diadakan ceramah agama berbentuk forum bertajuk ‘Khairul Ummah’ bersama tiga ahli panel.
Beliau berkata, tahun lalu MUIP mengagihkan bantuan zakat lebih RM170.9 juta kepada lapan asnaf. Antara bantuan yang diberi adalah dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, membina dan membaiki rumah serta program keagamaan.
“Bantuan lebih RM76.4 juta diberikan kepada golongan fakir dan miskin yang berhadapan pelbagai masalah. Bantuan kewangan secara bulanan dan keperluan asas banyak diberikan kepada mereka bagi meringankan beban ditanggung.
“Saya berharap pemimpin masyarakat seperti ketua kampung dan penghulu dapat bekerjasama memberi maklumat di kawasan mereka mengenai apa juga masalah dihadapi penduduk setempat,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO