KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) terus menyantuni golongan asnaf menerusi bantuan Aidilfitri sebanyak RM4.6 juta bagi meringankan beban 10,050 penerima.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan antara RM300 hingga RM500 diberikan kepada setiap keluarga mengikut jumlah ahli keluarga atau tanggungan.
Katanya, asnaf yang menerima bantuan Aidilfitri kali ini adalah individu terdiri daripada penerima bantuan bulanan dan tahunan yang disediakan MUIP.
Beliau berkata, senarai penerima seluruh negeri sudah ada dan agihan akan terus disalurkan ke dalam akaun mereka.
“Hampir setiap tahun MUIP menyediakan bantuan Aidilfitri kepada golongan asnaf yang berdaftar, bagi meringankan beban mereka untuk menyambut satu Syawal yang akan tiba.
“Tahun ini MUIP memperkenalkan dua bantuan untuk golongan miskin dan asnaf. Pertama, bantuan Ramadan antara RM600 hingga RM1,000 yang diberikan pada Mac lalu dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM10 juta.
“Kedua, bantuan Aidilfitri yang sudah dibayar pada 6 April lalu. Semua mereka sudah menerima bantuan terbabit untuk kegunaan membeli barangan keperluan dan pakaian baharu,” katanya, dihubungi, hari ini.
Asmadi berkata, untuk bantuan Ramadan kepada asnaf yang menerima baucar makanan MUIP (RM200), mereka menerima RM300 dengan dua kali bayar (berjumlah RM600).
Bagi asnaf yang menerima bantuan tunai setiap bulan pula, katanya, mereka menerima RM500 dengan dua kali bayar (berjumlah RM1,000).
Beliau berkata, bantuan makanan berbuka puasa untuk golongan rentan bernilai RM80,000 turut disediakan.
“Kemampuan MUIP untuk melaksanakan program bantuan Ramadan dan Aidilfitri seperti ini adalah hasil daripada dana zakat yang diterima oleh pembayar zakat di Pahang.
“Alhamdulillah, kami menyaksikan kutipan zakat terus meningkat setiap tahun. Inilah yang kita sebut sebagai keberkatan, semakin banyak kita membantu, insya-Allah akan lebih ramai pihak yang akan memberi sumbangan kerana yakin dengan kemampuan MUIP untuk mengagihkan zakat,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN