MUIP sumbang barangan keperluan kepada Penjara Bentong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang barangan keperluan asas bernilai RM30,000 kepada Penjara Bentong, pada Rabu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan berkenaan untuk kegunaan warga penjara dan penghuni pusat kuarantin di penjara terbabit.

Beliau berkata, bantuan kali pertama itu bagi meringankan beban golongan terbabit ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua tahun ini.

Katanya, MUIP sentiasa menghargai pengorbanan kakitangan penjara hingga menyebabkan diri mereka sendiri terdedah dengan penyakit berjangkit seperti Covid-19.

“Saya difahamkan penularan Covid-19 di Penjara Bentong kini terkawal sepenuhnya selepas tindakan segera diambil pihak berkuasa sebelum ini dan saya mendoakan episod sama tidak berulang.

“MUIP sentiasa prihatin dengan kesusahan dihadapi masyarakat negeri ini dan bantuan akan diberikan dalam apa juga bentuk antaranya seperti barangan keperluan asas, kewangan, tempat tinggal dan peralatan,” katanya.

Sumber: My Metro