KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima 7,223 permohonan bagi mendapatkan bantuan di bawah program Agihan Prihatin Zakat (APZ) daripada mangsa banjir setakat ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak 2,000 permohonan diluluskan pihaknya setakat ini selepas permohonan terbabit memenuhi syarat ditetapkan.
“Kita luluskan permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat ditetapkan. Permohonan yang berjaya menerima RM500 dan dengan dimasukkan ke dalam akaun bank mereka,” katanya, hari ini.
Permohonan secara dalam talian itu telah dibuka seminggu lalu memberi peluang mangsa banjir menerima bantuan RM500 bagi setiap ketua isi rumah (KIR).
MUIP menyediakan peruntukan sebanyak RM9 juta bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang melanda negeri ini pada akhir Disember lalu dengan tarikh tutup permohonan pada 15 Februari ini.
Sebelum ini MUIP menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membeli barang keperluan untuk diagihkan di 777 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.
Sumber: Berita Harian