KUANTAN : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima sumbangan Bantuan Sentuhan Kasih MAIWP berjumlah RM2 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua MUIP berkenan menerima sumbangan tersebut dalam satu acara ringkas yang diadakan di Istana Abdulaziz, di Kuantan.
Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary sambil disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Sumbangan Sentuhan Kasih oleh MAIWP ini telah dilancarkan sebagai inisiatif membantu mangsa banjir di seluruh Pahang yang terkesan akibat bencana tersebut, baru-baru ini.
Justeru, bantuan RM2 juta itu telah dikhususkan untuk membina semula rumah mangsa yang terlibat banjir di negeri ini.
Hadir sama ialah Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Encik Mohd Nizam Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi Hussain dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman.
Sumber: PAHANGMEDIA