Murid Sekolah Dibenarkan Buat Ujian Kendiri di Rumah – Radzi Jidin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah membenarkan murid sekolah rendah menjalani ujian saringan kendiri COVID-19 di rumah masing-masing bermula minggu ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, kelonggaran itu diberikan selepas perbincangan dibuat antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan kementerian tersebut.

Jelas beliau, ibu bapa dan penjaga perlu memaklumkan keputusan ujian kepada pihak sekolah.

“Kit ujian akan disediakan oleh pihak sekolah, pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan KPM akan mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara ini.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa adalah amat penting ibu bapa kepada anak-anak yang terpilih untuk melaksanakan ujian ini di rumah dapat melaksanakan ujian ini berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan dalam kenyataan media KPM nanti.

“Ini bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung dengan teratur dan selamat. Jika ianya tidak dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara-saudari, tetapi kawan-kawan mereka serta guru-guru mereka di sekolah,” katanya dalam rakaman video, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Radzi berharap ibu bapa boleh memainkan peranan penting terhadap pendekatan baharu itu bagi membolehkan ujian kendiri itu dapat dilaksanakan dengan teratur.

Ia sekali gus memastikan keselamatan semua pihak sepanjang sesi persekolahan berlangsung, tambahnya.

“Kita ingin pastikan sesi persekolahan ini dapat terus berlangsung dengan selamat dan saya yakin dengan kerjasama ibu bapa, kita dapat memastikan anak-anak kita hadir ke sekolah secara teratur dan selamat.

Pada 1 Disember lalu, KKM dalam strategi ujian COVID-19, menetapkan 10 peratus pelajar sekolah harian yang dipilih secara rawak perlu menjalani ujian RTK-Antigen dilaksanakan di sekolah.

Sumber: AWANI