Muzium Sultan Abu Bakar Mula Dibuka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Pembukaan semula Muzium Sultan Abu Bakar pada 1 Januari lalu diharap dapat dimanfaat oleh pengunjung yang bukan hanya mahu melihat ‘barang-barang lama’ tapi juga memperoleh ilmu daripada setiap pameran yang disediakan.

Pengarah Muzium Negeri Pahang, YH Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal berkata, sebanyak tujuh buah galeri dibuka termasuk Muzium Masjid Sultan Abdullah selain memberi tumpuan terhadap konsep istana sebagai pusat kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

“Kita memaparkan peranan muzium dan istana secara serentak kerana dulu sebelum Brirtish masuk (ke Tanah Melayu) tiada istilah muzium dan segala pusat sesi, sastera dan budaya berpusat di istana. Jadi di bangunan blok B, kita pamerkan segala bentuk sejarah budaya, seni, gamelan, tekstil, barang-barang perak, tembaga, seramik dan apa sahaja berkaitan dengan istana suatu ketika dulu.

Pengarah Muzium Negeri Pahang, YH Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal

“Kita juga ada pameran sejarah Kesultanan Melayu daripada Pahang Moden hingga ke hari ini, pameran arkeologi yang membuktikan bahawa Pahang telah wujud sejak lebih 1000 tahun dulu melalui penemuan-penemuan seramik, hasil cari gali yang dihasilkan sebelum ini selain galeri yang mempamerkan tentang kesenian Pahang yang dinamakan sebagai Personae Inderapura yang mempamerkan kepelbagaian watak yang muncul di Pahang selain konsep pemakanan ‘we are what we eat’ yang mempamerkan resepi-resepi masakan tradisional Pahang,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang.

Mengulas berkenaan peruntukan sebanyak RM18.8 juta kepada Perbadanan Muzium Negeri Pahang, beliau berkata ia termasuk bagi projek menaiktaraf muzium-muzium dan kajian pembangunan artifak.

“Peruntukan yang diluluskan untuk membangunkan dan menggerakkan muzium merangkumi pembangunan fizikal, kajian, intelektual dan artifak. Lima muzium di Kuantan telah diluluskan peruntukan manakala akan ada muzium baru di Pulau Beram dan Pulau Keladi, Pekan. Mungkin dalam tempoh setahun dua ini kita akan wujudkan Perkampungan Al-Asar yang mana ia akan dijadikan tempat pertemuan para ahli akademik untuk buat kajian dan sebagainya.

“Kalau boleh kita tak nak bangunan tanpa isi, sebab itu pentingnya kita ada satu pusat kajian iaitu Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al- Sultan Abdullah (AL-ASAR) dan telah ada beberapa buah penerbitan di bawah kajian tahun ini dan kita diperuntukkan sebanyak RM1 juta setahun,” katanya.

Kongsi beliau, transformasi paling besar cuba dilaksanakan ialah menjadikan muzium bukan sekadar tempat melihat budaya tempatan atau dalam konteks tanggapan biasa, tetapi bagaimana menerap undur-unsur Islam dalam setiap galeri.

“Ia adalah proses mengislamisasikan muzium sebab kita tak mahu orang ramai lihat muzium mewarisi budaya sekular tetapi muzium berperanan sebagai medium menyampaikan dakwah secara tidak langsung.

“Kita juga mahu orang ramai melihat muzium bukan sekadar tempat budaya, seni, tari menari, lesung batu, tetapi melihat dari segi pemikiran kita bagaimana melayu islam dan institusi beraja perlu disekalikan dalam membentuk satu budaya di Pahang,” katanya.

Menurutnya, sambutan sejak muzium mula dibuka semula sangat menggalakkan namun apa yang diharapkan bukan pada bilangan pengunjung yang datang tapi kualiti daripada mereka yang menghargai apa yang dilihat ketika meluangkan masa dalam galeri yang disediakan.

“Saya ingin menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada KDYMM Seri Padukan Baginda Yang Dipertuan Agong, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Pemangku Raja Pahang yang menjadi tulang belakang kuat kepada muzium Pahang ini.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha untuk mengekalkan sejarah warisan di negeri ini,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA