KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat lebih 500 syarikat yang disyaki membuat penipuan dalam bidaan membabitkan tender dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail, berkata melalui siasatan awal, pihaknya mendapati wujudnya pembabitan sehingga 50 syarikat di bawah satu kartel bagi mendapatkan tender tertentu.
“Namun kami masih mendapatkan maklumat lanjut sama ada mereka melanggar undang-undang persaingan.
“Selain itu kami juga menyiasat beberapa pemain di sektor logistik pelabuhan dan sebagainya yang berperanan sebagai kartel untuk monopoli perniagaan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pelan Strategik MyCC 2021-2025, di sini hari ini.
Pelan strategik itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.
Pada masa sama, Iskandar berkata, mana-mana syarikat yang didapati bersalah akan didenda oleh MyCC yang bertindak sebagai badan separa kehakiman.
Beliau berkata, hukuman adalah berbentuk denda sebanyak 10 peratus daripada pendapatan yang diperoleh sesebuah syarikat yang didapati bersalah.
“Jika contohnya mereka memperoleh RM10 juta hasil perniagaan monopoli itu, kita akan denda RM1 juta…kita tidak melakukan tangkapan kerana kami bukan macam polis sebaliknya kami siasat dan putuskan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, MyCC juga dijangka mempunyai kuasa bersifat lebih menyeluruh melalui pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, tahun depan.
Katanya, ia memberi lebih kuasa khususnya dalam aspek siasatan contohnya untuk merampas data di mana melalui akta sedia ada peranan MyCC adalah terhad dalam beberapa bahagian.
“Kami juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan isu kartel barangan keperluan harian.
“Contohnya membabitkan kartel sayur di mana ia bersifat dinamik dan luas…namun sehingga kini kami hairan kerana tiada aduan mengenai perkara itu, (pembabitan kartel), ” katanya.
Sumber: Berita Harian