PARIS – Rafael Nadal mengatasi pencabar lamanya, Novak Djokovic awal pagi tadi dalam empat set untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis buat kali ke-15.
Juara 13 kali di Roland Garros itu menang pertemuan ke-59 sepanjang karier antara mereka, 6-2, 4-6, 6-2, 7-6 (7/4) selepas pertarungan empat jam 12 minit aksi suku akhir di Court Philippe Chatrier.
Nadal mengesahkan kemenangan kelapan dalam 10 aksi di Terbuka Perancis berdepan pemenang tahun lalu, Djokovic pada jam 1:16 pagi waktu tempatan untuk menempah pertemuan empat terakhir berdepan pilihan ketiga, Alexander Zverev pada Jumaat ini.
“Saya sangat emosi. Bagi saya bermain di sini sangat menakjubkan,” kata Nadal.
“Perasaan ini menakjubkan buat saya.
“Bermain menentangnya sentiasa memberikan cabaran menakjubkan… Untuk menang, hanya ada satu cara, bermain paling baik dari mata pertama hingga terakhir.”
Pemain berusia 35 tahun itu hanya tewas tiga daripada 113 perlawanan di gelanggang tanah liat Paris sejak menang gelaran pada 2005 dan kini hanya ketinggalan 30-29 di belakang Djokovic dalam pertembungan antara mereka.
Pemain Sepanyol yang juga pilihan kelima itu berada di landasan tepat untuk melebarkan gelaran Grand Slam ke-22 selepas muncul juara Terbuka Australia.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi suku akhir, Zverev bermain dengan tenang untuk membalas dendam dan menyingkirkan pemain remaja sensasi, Carlos Alcaraz 6-4, 6-4, 4-6, 7-6 (9/7).
Pada ketika majoriti penonton menyokong Alcaraz, 19, yang mencatatkan kemenangan ke-14 berturut-turut sebelum ini, Zverev membuktikan kekuatan mentalnya untuk memenangi pertarungan selama tiga jam dan 18 minit itu.
Awal bulan lalu, Alcaraz menewaskan Zverev yang juga juara Sukan Olimpik di final ATP Masters di Madrid dalam pertarungan terbaru mereka.
Sumber: BERITA HARIAN