Nafuzi Tagih Aksi Lee Tuck, Da Sylva Berdepan Pj City FC Sabtu Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dua tonggak utama pasukan Terengganu FC (TFC) Lee Tuck dan Dominique Da Sylva, diharap pulih sepenuhnya daripada kecederaan bagi memperkuatkan pasukan pada aksi pertama saingan Piala Malaysia menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Mizan Zainal Abidin, Terengganu, Sabtu ini.

Ketua jurulatih skuad TFC Nafuzi Zain berkata Lee Tuck dan Da Sylva yang mengalami kecederaan buku lali sewaktu sesi latihan, sudah pun menjalani proses pemulihan sejak minggu lepas.

Katanya, kecederaan yang dialami kedua-dua pemain itu tidak terlalu serius dan percaya mereka mampu kembali cergas untuk berdepan lawan bagi merebut slot ke suku akhir.

“Memang sekarang kami ada beberapa pemain yang dihimpit kecederaan termasuklah Lee Tuck dan Da Sylva, dan ada juga beberapa pemain tempatan lain turut cedera, tetapi tidak serius. Jadi, saya tidak terlalu risau, cuma berharap pemain ini terutamanya mereka berdua dapat betul-betul cergas sebab saya memang perlukan mereka untuk perlawanan itu nanti “

Dalam pada itu, Nafuzi mengingatkan anak buahnya agar tidak mengambil mudah saingan dari PJ City FC kerana pasukan kendalian K. Devan itu penuh dengan kejutan, malah pernah menundukkan lawan hebat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.

Malah, beliau berkata rekod kemenangan 2-0 skuad Penyu ke atas pasukan PJ City FC dalam saingan Liga Super pada 22 Ogos lepas bukan jaminan untuk mereka meraih kemenangan mudah ke atas pasukan pelawat.

“Dalam saingan liga musim ini, memang kami ada tewaskan mereka tetapi untuk Piala Malaysia, aksi ini kalah mati, jadi semua pasukan akan bekerja keras untuk buru kemenangan dan apa-apa sahaja boleh berlaku,”

Berdasarkan format Piala Malaysia, pemenang antara TFC dan PJ City FC akan mara ke suku akhir dan dijangka berdepan sama ada pasukan Perak atau Kelantan United FC (KUFC)  yang beraksi di Stadium Ipoh, Perak juga pada Sabtu.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan menggunakan format kalah mati bagi saingan Piala Malaysia musim ini susulan kekangan masa akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, menyaksikan kempen Liga Malaysia (Liga-M) ditunda hampir lima bulan — BERNAMA