Naik Taraf SNBJ Mula Mac 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Proses naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini, sambil menjelaskan proses naik taraf gelanggang keramat Harimau Malaya itu akan bermula pada Mac tahun depan.

Katanya, siling peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Ke-2 adalah sebanyak RM32 juta.

“Pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhasrat untuk meneruskan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi penganjuran kejohanan bola sepak peringkat Asia.

“Walau bagaimanapun, kementerian menyedari akan kekurangan keseluruhan kualiti SNBJ. Pihak PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) sedang dalam proses memuktamadkan aspek teknikal dan proses perolehan yang dibenarkan,” katanya.

Sebelum ini, kualiti padang di stadium berkenaan dikritik hebat terutama apabila berlaku insiden pada kelayakan Piala Asia 2023 bulan lalu yang menyaksikan petugas terpaksa menggunakan penyodok untuk membuang air bertakung susulan hujan lebat.

Selain itu, beliau berkata, pihak kementerian bercadang untuk melaksanakan kerja menaik taraf secara tender terbuka manakala pembaikan padang secara rundingan terus tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.

“Pada masa ini, pihak PSM mengambil tindakan untuk menutup Stadium Nasional mulai 15 Jun 2022 bagi melaksanakan kerja baik pulih fasiliti secara berperingkat.

“Penutupan ini tidak membabitkan keseluruhan Stadium Nasional tetapi hanya kawasan yang terbabit dengan kerja baik pulih sahaja,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN