Machang: Walaupun pendapatan menjual lemang terjejas teruk berikutan pelanggan berkurangan berikutan pandemik Covid-19, penjualnya tidak berputus asa dan tetap meneruskan perniagaan menjual lemang di Jalan Kota Bharu-Jeli.
Wan Mohamad Baitulna Wan Abdullah, 38, berkata sejak dua tahun berdepan dengan penularan Covid-19, jualan lemangnya semakin merosot dan tidak seperti dulu, malah untuk menjual 20 batang lemang sehari pun sukar.
Bagaimanapun, tetap tabah mengharungi cabaran bagi mencari rezeki dengan menjual lemang yang menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga sejak 19 tahun lalu.
“Meskipun jualan lemang berkurangan berbanding sebelum ini, ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarga dalam suasana pandemik ini.
“Sebelum Covid-19 saya mampu menjual sekitar 100 batang lemang sehari dengan harga antara RM8 hingga RM10 bergantung jenis lemang.
“Meskipun menyedari pendapatan harian hanya sekadar cukup makan, saya tetap menjual dua jenis lemang iaitu lemang biasa dan pulut hitam kerana yakin masih ada pelanggan setia yang mahukan lemang,” katanya ketika ditemui di gerai lemangnya di Kampung Gelung Gajah, di sini, hari ini.
Bapa kepada dua anak berusia lapan dan 16 tahun itu berkata, walaupun hasil jualan tidak seberapa, dia tetap bersyukur kerana masih boleh berniaga dan mencari pendapatan.
Menurutnya, dia menyediakan kira-kira 10 kilogram (kg) pulut setiap hari walaupun belum tentu dapat dihabiskan.
Sumber: My Metro