Persoalan menggantikan puasa bukan sahaja berlegar dalam minda golongan wanita, namun juga lelaki. Mungkin ada yang terpaksa meninggalkan puasa disebabkan sakit, permusafiran dan juga masalah tenaga seperti kekangan kerja dan sebagainya.
Apabila tiba pula bulan Syawal, ramai di antara kita yang akan merebut peluang untuk berpuasa selama enam hari dalam bulan ini kerana ganjarannya adalah besar diibaratkan seperti telah berpuasa setahun penuh.
Namun, lain pula dengan mereka yang mempunyai hutang puasa. Perlu menggantikan puasa terlebih dahulu atau mendahulukan puasa sunnah? Bimbang jika tidak sempat berpuasa sunnah pada bulan Syawal.
Walaupun jumhur ulama telah mengeluarkan kenyataan bahawa dibolehkan untuk menggabungkan puasa Syawal dan ganti secara serentak, namun ada dalam kalangan kita yang mungkin berpegang kepada pendapat segelintir ulama yang lain, iaitu memisahkan puasa mereka.
Kedua-duanya adalah tidak salah kerana ia adalah pendapat yang dipersetujui ulama juga. Begitu juga dalam persoalan kali ini, jumhur ulama berbeza pendapat dalam menentukan puasa mana yang perlu didahului.
Pendapat pertama yang membolehkan melakukan puasa sunnah sebelum qada adalah daripada para ulama Hanafi, Maliki dan Syafi’e.
Qada’ puasa tidak mengapa jika tidak dilakukan dalam waktu yang segera. Tetapi, puasa Syawal terhad masanya, iaitu dalam bulan Syawal sahaja.
Dalam hal ini, mereka merujuk kepada dalil Saidatina ‘Aisyah yang menunda qada’ puasa ke bulan Syaaban kerana kesibukan beliau mengurus Baginda SAW.
Maksud: “Aku masih punya hutang puasa dan aku tidak mampu menggantikannya sehingga pada bulan Syaaban.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1950)
Pendapat kedua ialah yang tidak membenarkan puasa Syawal selagi mempunyai hutang puasa adalah daripada mazhab Hanbali.
Pendapat ini mengharamkan puasa sunnah apabila masih mempunyai hutang puasa wajib. Para ulama Hanbali menqiaskan (sama) dengan dalil haji, iaitu – jika seseorang menghajikan orang lain (padahal ia sendiri belum menunaikan haji), maka tidak dibolehkan.
Mana Yang Utama
Jangka masa untuk melakukan puasa Syawal hanya terhad pada bulan Syawal sahaja. Berbeza dengan masa untuk menggantikan puasa. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa selagi tidak sampai kepada Ramadan seterusnya.
Namun, jangan dilewat-lewatkan pula waktu menggantikan puasanya. Jika sudah punya kelapangan, elok diawalkan, bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Berbalik kepada persoalan di atas, jumhur ulama menyebut bahawa harus mendahulukan puasa sunat bulan Syawal berbanding puasa wajib (ganti).
Adapun, jika anda yakin dan percaya akan kemampuan diri sendiri (atau sudah terbiasa) maka, afdal (lebih baik) menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu. Kemudian, bolehlah diteruskan dengan puasa sunat Syawal.
Namun, jika anda ragu-ragu dengan kemampuan sendiri, maka buatlah puasa sunat Syawal terlebih dahulu bagi mengambil pahala dan ganjarannya atau boleh juga menggabungkan kedua-dua puasa tersebut.
Syeikh Muhammad bin Sholih al-‘Utsaimin RA berkata;
“Inilah pendapat terkuat dan lebih tepat (iaitu boleh melakukan puasa sunat sebelum qada puasa selama waktunya masih panjang). Jika seseorang melakukan puasa sunnah sebelum qada puasa, puasanya adalah sah dan tidak berdosa. Kerana ia diqiaskannnya adalah benar. Allah berfirman:
Mafhum: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain).” (Surah Baqarah, 2:185)
Dalam ayat ini dikatakan untuk mengqada puasanya di hari lain dan tidak disyaratkan oleh Allah untuk berturut-turut. Seandainya disyaratkan berturut-turut, sudah tentu qada tersebut perlu dilakukan dengan segera. Hal ini menunjukkan dalam permasalahan puasa ini (sunnah dan qada), wujudnya kelapangan.” (Syarhul Mumthi’, 6/448)
Sumber:TZKRH.COM