Nampak Toyota Hilux Dipandu Terhuyung-Hayang Atas Jambatan – Saksi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Saksi kejadian lelaki terjatuh ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong di sini melihat kenderaan dipandu oleh mangsa dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum berhenti mengejut di tepi jalan.

Pesara polis, Zulkarnain Mohamad, 64, berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu oleh pembuat barangan besi, Mohd Zulhilmi Mohd Zamri, 37, bergerak dalam keadaan demikian dari arah Tendong ke Kota Bharu.

Menurut Zulkarnain, keretanya secara kebetulan berada di belakang kenderaan mangsa yang dalam keadaan huyung-hayang sejauh kira-kira 150 meter di atas jambatan dari persimpangan lampu isyarat Tendong.

“Saya sangkakan pemandu mengantuk dan membunyikan hon supaya dia tersedar namun tiba-tiba lelaki itu berhenti serta melihatnya turun dari kenderaan tersebut sebelum jatuh ke sungai.

“Saya menjerit memanggilnya sambil berlari cuba untuk menyelamatkan lelaki itu tetapi tidak sempat sebelum melihat sebelah tangan melambai ketika berada di dalam sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Rabu.

Ujar Zulkarnain, dia segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk memaklumkan kejadian dan bantuan.

“Ketika itu saya melihat dia beberapa kali tenggelam timbul sebelum hilang kerana dihanyutkan arus sungai dalam tempoh hanya 15 minit,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fakaruddin brahim berkata, operasi mencari dan penyelamat (SAR) yang dilakukan pada Selasa disambung pada Rabu bermula jam 7 pagi.

Katanya, lokasi pencarian diperluaskan ke tujuh kilometer (km) radius berbanding 2km sebelumnya serta turut membabitkan lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai bomba Pengkalan Chepa dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Aset pencarian juga ditambah daripada dua kepada tujuh bot membabitkan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

– Sinar Harian