SINGAPURA – Nasi kerabu tumis hasil air tangan pelakon Malaysia Sasqia Dahuri bukan sahaja mendapat sambutan warga senegara yang terkandas di Singapura malah turut digemari penduduk tempatan.
Diperkenalkan sebagai menu baharu sejak enam Ramadan lalu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini tidak menyangka hidangan itu turut memikat selera rakyat Singapura.
“Pada hari pertama sahaja, kami telah menerima tempahan lebih 100 bungkus,” katanya yang turut menyediakan prapesanan melalui akaun Instagramnya.
Mengusahakan gerai makanan dikenali ‘Kelate’ di Toa Payoh sejak 8 Februari lalu bersama suaminya, pelakon tinggi lampai ini memperkenalkan sedikit kelainan, nasi kerabunya diwarnakan kuning berbanding kebiasaan iaitu biru atau hitam.
“Ia dipanggil nasi kerabu kuning atau tumis. Bukan nasi kerabu tanpa ditumis lebih dikenali sebagai nasi kerabu darat atau nasi kerabu Golok yang biasanya diwarnakan biru atau hitam.
“Keluarga ayah saya berasal dari Kampong Salor, Kelantan dan kami lebih terdedah dengan nasi kerabu tumis ini.
“Saya tidak boleh sewenang-wenang memperkenalkan resipi makanan tradisi Kelantan ini di sini. Secara tidak langsung saya juga membawa nama negara.. saya perlu buat dengan cara yang betul,” katanya kepada Bernama.
Sepanjang Ramadan ini, gerai Kelate akan menawarkan tiga menu asalnya iaitu – laksam, mi celup dan colek – dengan waktu operasinya ditukar kepada 3 petang hingga 9.30 malam.
Selepas Ramadan ia akan beroperasi 8 pagi hingga 9.30 malam namun, menu nasi kerabu akan terus dijual.
Dengan hanya tiga menu itu gerai makanan ini yang terletak di 93, Lorong 4, Toa Payoh di sini mampu menarik ratusan pelanggan walaupun pada hari biasa.
Dalam tempoh dua bulan, gerai Kelate telah melakukan penambahbaikan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menikmati masakan tradisi negeri Che Siti Wan Kembang itu.
Menurut siswazah Universiti Multimedia Malaysia itu, selain pelanggan membuat prapesanan, Kelate juga menyediakan jualan secara dalam talian tetapi memandangkan baru berjinak-jinak menggunakan paltform itu, buat masa ini edaran masih terbatas dalam lingkungan 10 kilometer.
“Kami perlu membina reputasi yang baik terlebih dahulu bagi membolehkan penghantaran dapat dibuat ke seluruh Singapura.
“Kami juga sudah mempunyai “central kitchen” atau dapur berpusat bagi memenuhi permintaan yang meningkat,” kata pemilik nama asal Nurlisasqia Ahmad Dahuri ini.
Sasqia, 35, yang berkahwin dengan rakyat tempatan Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan pada 2018 telah berada di Singapura sejak penutupan sempadan pada Mac tahun lalu.
Melalui syarikat filemnya Stelo Infotainment, program masakan menampilkan instafamous dan youtuber bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen di Malaysia pada September nanti. Antara yang akan tampil dalam program itu ialah Puan Sri Shariffa Nisa Bakri.
Sumber: BERNAMA