Perkataan ‘kebetulan’ sebenarnya tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan kita, terutama umat Islam kerana semua perjalanan hidup ini adalah ketentuan dari sang Pencipta.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Usuludin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Munawar Ismail, sememangnya telah menjadi budaya dan adat orang Melayu khususnya sentiasa mengungkapkan perkataan ‘mujurlah’ atau “nasib baik awak ada” dan sebagainya secara spontan.
Menurut Dr. Ahmad lagi, apabila kita mengungkapkan perkataan sedemikian maka hukumnya tidaklah menjadi masalah jika iktiqad atau akidahnya tidak berubah. Apa pun segalanya bergantung kepada niat.
Akan tetapi jika di hatinya yakin bahawa ‘kebetulan’ itu tiada kaitan dengan Allah, maka dikira syirik kepada Allah. Tidak menjadi masalah bukan bererti boleh dituturkan sesuka hati, perlu juga berjaga-jaga agar mengurangkan sebutan sedemikian.
Seeloknya tukarlah dengan kata-kata yang lebih baik, seperti “Alhamdulillah”. Ini membolehkan si penutur tersebut mendapat pahala.
Dr. Ahmad turut menerangkan, perkara itu jelas berbeza dengan keadaan di mana kita menyebut “nasib ada bomoh tu, kalau tidak, habislah aku,” ungkapan ini sejelasnya memang tidak dibolehkan dan hukumnya telah syirik.
Ini kerana pengungkap tersebut telah meletakkan pergantungan kepada manusia semata, dan bukannya kepada Allah.
Tegasnya lagi, sepatutnya sebagai seorang hamba, kita wajib meyakini bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan dari Ilahi.
Kadang-kadang, kita menganggap bahawa Allah tidak adil kepada kita kerana menetapkan kita dengan pelbagai ujian dan dugaan, tetapi kita mungkin tidak sedar bahawa sebenarnya itu adalah yang terbaik untuk diri kita.
Sungguh! Dia lebih mengerti tentang hambaNya. Contohnya, saban hari kita memohon diberikan kesenangan harta olehNya. Kita kadang-kala merungut kerana masih dalam kemiskinan meskipun telah beramal padaNya.
Namun kita tidak tahu, mungkin Allah sedang memelihara diri kita dari perasaan riak dan takabbur apabila menjadi kaya? Bukankah ujian kesenangan itu lebih susah dari ujian kemiskinan?”
Apabila kita diuji dengan bencana alam seperti banjir, Kita akan mula bersungut. Ini disebabkan bencana alam yang diberikan oleh Allah menyebabkan ramai yang menderita akibat dari kejadian alam tersebut. Padahal, Allah itu bersikap adil kepada kesemua makhluk ciptaannya, termasuk bumi ini.
Malah, kadang-kadang apabila manusia ditimpa ujian, baru ramai yang tersedar dan berasa bersyukur dengan nikmat yang pernah dapat. Kita perlu ingat bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Justeru dalam keadaan apa pun, yakinlah semuanya atas ketentuan Allah yang Maha Esa kerana hanya Dialah asbab kita hidup di dunia ini.
Apa yang penting jaga pertuturan dan jangan sampai kita menafikan kekuasaan-Nya dan menafikan segala ketentuan dari Nya. Sedangkan daun yang jatuh pun adalah ketentuan Tuhan dan bukan kebetulan, inikan pula yang berlaku kepada manusia. Wallahu a’lam
Sumber: UTUSAN TV