Kota Bharu: “Sebaik mendengar letupan, saya bergegas ke masjid terletak 10 meter dari rumah untuk melihat sama ada masih terdapat jemaah atau tidak di dalam masjid,” kata Imam Muda Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh, Mohamad Zulhilmi Abdullah.
Mohamad Zulhilmi, 37, berkata siling rumahnya runtuh disebabkan letupan sangat kuat sehingga anaknya menangis ketakutan.
Katanya, sebaik menenangkan ahli keluarganya yang masih terkejut dengan bunyi letupan, dia bergegas ke masjid untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut terdapat beberapa kereta sedang terbakar.
“Mujurlah pada ketika itu, semua jemaah yang sudah selesai menunaikan solat Asar pulang ke rumah dan kebetulan pada hari kejadian tidak ramai datang berjemaah ke masjid disebabkan hujan.
“Ketika letupan berlaku, hanya lima pegawai penjarakan sosial sedang bertugas dan masih berada di dalam masjid dan mereka bernasib baik kerana tidak cedera,” katanya ketika ditemui di Kampung Sireh, di sini, baru-baru ini.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki maut dalam keadaan tragik selepas kereta dipandunya meletup di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, dipercayai akibat membawa mercun bola.
Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback turut tercampak 20 meter dari lokasi kejadian selain kenderaannya terputus dua.
Bercerita lanjut, Mohamad Zulhilmi berkata, letupan itu turut menyebabkan beberapa cermin masjid pecah dan tandas rosak selain besi kubah masjid terjatuh ke dalam ruang solat.
“Letupan itu sangat kuat dan menggegarkan kawasan Kampung Sireh sehingga ke Telipot dan banyak serpihan besi melantun masuk ke dalam kawasan masjid,” katanya.
Sumber: My Metro