Nasihat, didik sebelum mula kompaun Jumaat ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Tindakan kompaun akan dikeluarkan bermula Jumaat ini terhadap mana-mana pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) susulan kelonggaran yang diberikan kepada negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, beberapa kelonggaran termasuk kebenaran makan di kedai (dine-in) dengan SOP tertentu itu diberikan kerajaan kepada mereka yang lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Sejak semalam, Terengganu yang berada dalam Fasa Dua PPN menerima kelonggaran namun kita (polis) tidak mengeluarkan kompaun lagi sebaliknya mengambil pendekatan mendidik dan memberi kefahaman.

“Pemantauan memang dilakukan namun saya sudah beri arahan kepada semua ketua polis daerah di Terengganu supaya tidak mengeluarkan kompaun kepada pelanggan, majikan atau pekerja dalam tempoh tiga hari ini bermula semalam.

“Buat permulaan, kita lebih kepada memberi kefahaman, mendidik dan menyedarkan mereka tentang tanggungjawab masing-masing.

“Kita sebolehnya mahu beri kefahaman kepada masyarakat terlebih dahulu sebelum penguatkuasaan dibuat, jadi hari keempat nanti, kompaun akan dikeluarkan kepada mana-mana pihak yang ingkar,” katanya ketika melakukan pemantauan SOP di Kuala Terengganu.

DATUK Rohaimi Md Isa (kanan) memeriksa sijil digital vaksinasi Covid-19 pelanggan di sebuah restoran ketika melakukan tinjauan pelaksanaan SOP 'dine-in' hari ini. FOTO GHAZALI KORI
DATUK Rohaimi Md Isa (kanan) memeriksa sijil digital vaksinasi Covid-19 pelanggan di sebuah restoran ketika melakukan tinjauan pelaksanaan SOP ‘dine-in’ hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Rohaimi berkata, hasil pemantauan juga mendapati masih banyak premis tidak membenarkan pelanggan makan di kedai dan pelanggan hanya dibenarkan untuk membungkus makanan sahaja.

“Walaupun ada kelonggaran diberikan namun masyarakat di Terengganu masih berjaga-jaga apabila pelanggan lebih selesa membungkus makanan manakala pemilik restoran atau kedai juga tidak menyediakan perkhidmatan makan di kedai memandangkan kes jangkitan masih tinggi.

“Malah, pergerakan kenderaan keluar dan masuk ke Terengganu juga terkawal dan berdasarkan situasi ini, kadar pematuhan di Terengganu adalah tinggi iaitu 97peratus,” katanya.

Mengulas mengenai penjualan sijil digital vaksin palsu, Rohaimi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan pemilikan atau penjualan sijil digital vaksin palsu di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan memantau isu berkenaan dan meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil berkenaan.

Sumber: MY Metro