Negara Arab Termasuk Saudi Raya Hari Ini, Majoriti Negara Islam Sambut Aidilfitri Esok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RIYADH: Arab Saudi dan negara Islam lain yang berpegang kepada ajaran Sunni, semalam, mengumumkan sambutan Aidilfitri di negara mereka akan bermula pada hari ini.

Di beberapa negara dengan majoriti Islam yang beraliran Syiah, pihak berkuasa berkata, perayaan itu akan bermula pada Sabtu.

“Esok, Jumaat, adalah hari pertama Aidilfitri untuk tahun ini,” dengan Khamis adalah hari terakhir bulan suci Ramadan, kata Saudi Press Agency melalui Twitter, yang memetik kenyataan Mahkamah Diraja.

Waktu bagi Aidilfitri ditentukan dengan melihat anak bulan, berdasarkan kalendar Islam.

Pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jordan dan Sudan juga mengumumkan Aidilfitri akan bermula pada Jumaat.

Di Lubnan, ulama Sunni berkata, cuti akan bermula pada Jumaat, manakala beberapa pemimpin Syiah mengumumkan permulaan cuti adalah pada Sabtu.

Libya, yang diperintah dua pentadbiran yang bertelagah, akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat di timur negara itu dan Sabtu, di kawasan di bawah kawalan kerajaan yang berpusat di Tripoli.

Kenyataan daripada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan pihak berkuasa tertinggi Syiah Iraq, Ayatollah Ali Sistani, berkata Aidilfitri akan bermula pada Sabtu di negara mereka.

Di Oman, cuti perayaan itu juga akan bermula pada Sabtu, sama seperti Pakistan, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand manakala Arab Saudi dijangka bercuti selama empat hari sempena Aidilfitri. – AFP

Sumber: BERITA HARIAN