Kuala Lumpur: Negara berada di landasan tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kemajuan kadar vaksinasi harian dalam negara hari ini yang sudah melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia .
Beliau berkata, vaksinasi harian kebelakangan ini mencatat sejumlah 250,000 dos suntikan sehari secara konsisten dan disasarkan 300,000 dos suntikan diberikan mulai bulan ini.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Jawatankuasa Teknikal Covid-19 dalam sidang media baru-baru ini sudah mengeluarkan analisis dapatan data terkini perkembangan kes Covid-19 di seluruh dunia.
“Di Afrika, kadar peningkatan kes jangkitan Covid-19 sudah meningkat kepada 16.7 peratus, manakala di kawasan timur Mediterranean pula mencatatkan 16.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, analisis negara di Eropah juga sudah merekodkan sebanyak 33 peratus kadar peningkatan jangkitan dan 8.6 peratus di Asia Tenggara .
“Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini antaranya ialah penemuan varian baharu yang mempunyai impak lebih serius ke atas individu serta menular dengan lebih cepat berbanding jangkitan biasa.
“Oleh itu, terus tingkatkan kawalan kendiri atau self lockdown dengan duduk di rumah dan keluar jika terdapat keperluan serta patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti,” katanya.
Sumber: My Metro