Mukah: Nelayan sungai yang dilaporkan hilang ketika menjala udang di Sungai Oya, di sini, awal pagi semalam, ditemukan maut hari ini.
Mayat mangsa, Alibaba Dahri, 52, ditemukan terapung di Kampung Senau, kira-kira lapan kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Kampung Kuala Oya.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan di lengan, paha dan telinga mangsa.
Beliau berkata, berdasarkan kecederaan itu, mangsa dipercayai disambar buaya.
“Telinga kiri mangsa putus, manakala kesan luka akibat gigitan ditemukan di lengan dan paha,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Saga yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak semalam berkata, mayat ditemukan penduduk kampung jam 5 pagi tadi.
Mangsa dari Kampung Kuala Oya dikatakan turun ke sungai berkenaan pada 1 pagi untuk menjala udang namun tidak lama kemudian penduduk kampung menemukan perahunya hanyut.
Penduduk kampung kemudian memaklumkan penemuan perahu itu kepada adik mangsa yang segera membuat laporan polis dibuat jam 4 pag.
Untuk rekod, insiden serangan buaya di Sungai Oya itu adalah yang keempat dilaporkan sejak lima tahun lalu.
Sumber: My Metro