Nelayan Sungai Maut Disambar Buaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUCHING: Seorang lagi nelayan maut dibaham buaya di Sungai Batang Oya di Dalat, Mukah, di sini, malam tadi, menjadikan kes serangan buaya yang kelapan dilaporkan di daerah Dalat dalam tempoh beberapa tahun ini.

Enam daripada serangan buaya itu membabitkan kematian, manakala dua lagi terselamat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat, berkata dalam kejadian terbaru yang dilaporkan pada jam 10.30 malam tadi, mangsa Roslin Madaie, 58, dikatakan disambar seekor buaya ketika sedang menebar jala dari botnya sebelum diheret ke dalam Sungai Batang Oya.

“Kejadian terbaru berlaku kira-kira jam 10.30 malam tadi dan dimaklumkan orang awam yang menghubungi polis pada jam 11.26 malam.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa disambar seekor buaya ketika sedang menebar jala dari botnya sebelum diheret ke dalam Sungai Batang Oya. Rakan mangsa yang melihat kejadian itu kemudian meminta bantuan penduduk bagi mengesannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saga berkata, penduduk kampung menjalankan pencarian dengan kaedah tradisional iaitu menggunakan mata kail yang ditunda menggunakan bot.

“Selepas beberapa jam pencarian iaitu pada jam 12.30 tengah malam, mata kail digunakan tersangkut pada mangsa yang tenggelam di dasar sungai,” katanya.

Beliau berkata, selepas berjaya dibawa ke permukaan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Dalat menggunakan kenderaan polis untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan doktor bertugas dan pegawai penyiasat kes mendapati kecederaan pada badan mangsa adalah sinonim dengan kecederaan gigitan binatang buas.

“Mangsa dipercayai diheret masuk ke dalam air dan lemas. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN