KEMAMAN – Sekumpulan nelayan terkejut apabila terlihat kelibat seekor buaya sedang berenang di Pantai Kampung Tengah dekat Kijal di sini hari ini.
Wan Zuhairi Wan Nordin, 32 berkata kejadian itu berlaku ketika dia dan beberapa nelayan lain sedang dalam perjalanan memukat ikan bilis di tengah laut kira-kira 7 pagi.
“Ingatkan apa benda yang bergerak hingga air berkocak kuat. Bila dilihat dengan teliti, rupanya ia seekor buaya dengan anggaran dua meter panjang berada tidak jauh dari bot yang sedang kami naiki.
Paling saya bimbang kerana jaraknya dengan pantai sangat dekat, kira-kira 100 meter sahaja. Saya sempat rakam video sebagai bukti agar pengunjung pantai ini lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Wan Zuhairi yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu berkata kemunculan buaya di sekitar pantai kampung tersebut bukanlah kali pertama kerana ia pernah berlaku 10 tahun lalu.
“Harap-harap tiada perkara buruk yang akan berlaku kerana pantai ini memang jadi tumpuan ramai setiap kali musim cuti persekolahan atau hujung minggu,” katanya yang berharap pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan lanjut.
Video berdurasi lapan saat yang dirakam Wan Zuhairi kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai maklum balas dari warganet yang risaukan keselamatan pengunjung dan penduduk kampung itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Seong berkata pihaknya masih belum menerima apa-apa maklumat berkaitan buaya tersebut.
“Walaupun belum sahih, pengunjung tetap perlu berwaspada ketika berada di sekitar kawasan tersebut,” katanya.
Sumber: BERNAMA