PARIS – Neymar berkata dia menikmati “cabaran dan peluang baharu di tempat baharu” selepas menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal dari Paris Saint-Germain (PSG) dengan kontrak dua tahun awal pagi tadi, muncul nama besar terbaharu yang dipikat ke negara Teluk yang kaya dengan minyak itu.
Penyerang Brazil berusia 31 tahun itu menamatkan enam tahun penampilan di ibu negara Perancis sekali gus mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Sadio Mane meninggalkan Eropah untuk ke Timur Tengah.
“Saya sudah banyak mengecapi kejayaan di Eropah dan menikmati saat-saat istimewa, tetapi saya seringkali mahu menjadi pemain global dan menguji diri dengan cabaran baharu serta peluang di tempat baharu,” kata Neymar dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Pro Saudi.
“Saya mahu melakar sejarah baharu dalam sukan ini dan Liga Pro Saudi mempunyai tenaga yang luar biasa serta pemain berkualiti ketika ini,” ujarnya.
“Al-Hilal satu kelab gergasi dengan peminat fantastik dan ia yang terbaik di Asia. Ia memberikan saya gambaran inilah keputusan tepat buat saya ketika ini dengan kelab yang tepat. Saya suka menang serta menjaringkan gol dan saya bercadang untuk meneruskannya di Arab Saudi bersama Al-Hilal.”
Neymar menyertai PSG dari Barcelona pada tahun 2017 dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.12 bilion), beberapa minggu sebelum mereka mengikat Kylian Mbappe.
Pemain Brazil itu menjaringkan 118 gol dalam 173 perlawanan buat PSG, memenangi lima kejuaraan Ligue 1 dan tiga Piala Perancis namun masanya di PSG dibelenggu dengan beberapa siri kecederaan.
Sekalipun dia membantu kelab itu layak ke final Liga Juara-Juara 2020, yang mana mereka tewas 1-0 di tangan Bayern Munich, dia terpaksa diketepikan bagi perlawanan penting.
Neymar menjalani pembedahan di pergelangan kaki kanannya pada awal Mac lalu dan hanya kembali menyertai PSG bagi jelajah pramusim di Asia.
Bagaimanapun, dia tidak lagi berada dalam perancangan jurulatih baharu Luis Enrique dan dikaitkan dengan perpindahan ke Al-Hilal, yang mana dia akan menerima 100 juta euro (RM505 juta) semusim, menurut sumber terdekat rundingan itu.
PSG tidak dapat meraih semula bayaran yang mereka belanjakan terhadap pembelian Neymar tetapi masih menerima hampir 100 juta euro, menurut sumber sama.
“Sudah tentu sukar untuk menyatakan selamat jalan kepada seorang pemain mengagumkan seperti Neymar, salah seorang pemain terbaik di dunia,” kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dalam satu kenyataan kelab juara Perancis itu.
“Saya tidak akan melupakan hari dia tiba di Paris Saint-Germain dan apa yang disumbangkannya kepada kelab kami serta projek kami dalam enam tahun terakhir. Kami menikmati saat hebat dan Neymar akan sentiasa menjadi sebahagian besar daripada sejarah kami.”
Al-Hilal secara tradisinya muncul antara kelab terkuat Arab Saudi dan merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Asia sebanyak empat kali.
Kelab itu dilatih Jorge Jesus dari Portugal, yang tampil bagi tempoh kedua, manakala skuad itu kini diperkuatkan dengan empat pemain antarabangsa yang dibawa dari Eropah – Ruben Neves, Sergej Milinkovic-Savic, Kalidou Koulibaly dan rakan senegara Neymar dari Brazil, Malcom.
– BERITA HARIAN