Nikmat disyukuri seluruh warga Felda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Beban 3,112 peneroka di 11 Rancangan Tanah Felda seluruh negeri ini terasa ‘ringan’, susulan pengumuman kerajaan untuk melupuskan sebahagian pinjaman berjumlah RM8.3 bilion, baru-baru ini.

Rata-rata peneroka mengibaratkan pengumuman itu seperti bulan jatuh ke riba kerana sudah lama mereka menantikan khabar gembira selepas lebih 40 tahun menjadi warga Felda.

Peneroka Felda Chiku 1 di sini, Ismail Yusof, 74, berkata , jika kerajaan tidak melupuskan hutang tersebut, para peneroka sepertinya mungkin terpaksa menanggung beban hutang seumur hidup mereka.

Inisiatif kerajaan itu katanya, juga merupakan khabar gembira buat generasi baharu Felda yang kini terhimpit untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika musim pandemik Covid-19.

“Akhirnya, doa kami supaya hutang dilupuskan setiap kali solat termakbul.

“Pengumuman itu membuatkan kami tidur lena dan gembira kerana sebelum ini sering memikirkan hutang lebih RM100,000 terpaksa ditanggung,”katanya.

Seorang lagi peneroka, Wan Ahmad Wan Mahmud, 70, pula berkata, sejak tinggal di Tanah Rancangan Felda, pelbagai cabaran perlu dihadapi termasuk bergolak gadai bagi membangunkan ladang.

Katanya, pengumuman itu menunjukkan kerajaan komited dan prihatin terhadap nasib peneroka Felda di seluruh negara yang selama ini dibelenggu hutang sepanjang hayat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Kami Anak Felda (KAF) Kebangsaan, Wan Zawawi Wan Zain mewakili 1.4 juta generasi baharu Felda mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan kepimpinan Felda di atas pengumuman itu.

“Berita ini juga menggembirakan 112,638 peneroka Felda di seluruh negara apabila penyata hutang datang bersama dengan pelupusan hutang hampir 80 peratus. Ini satu nikmat yang patut disyukuri semua warga Felda,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia