Nilai Eksport Lada Cecah RM54.5 Juta Setakat Mei Lepas – TPM Fadillah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUCHING – Jumlah nilai eksport lada Malaysia mencecah RM54.5 juta sehingga Mei tahun ini yang merupakan satu pencapaian membanggakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pada masa ini juga Malaysia adalah pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan India.

“Industri lada negara telah mencatatkan prestasi membanggakan dengan merekodkan nilai eksport sebanyak RM181.4 juta pada tahun 2022 berbanding RM153.5 juta pada tahun 2021.

“(Sehubungan itu), kita berharap agar momentum ini dapat berterusan walaupun dalam keadaan ekonomi global yang sedikit mencabar pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran stesen penyelidikan lapangan Lembaga Lada Malaysia (MPB) di sini, hari ini.

Selain itu, Fadillah turut mengingatkan kalangan penggiat industri lada agar mengutamakan aspek kemapanan dalam semua aspek operasi mereka.

“Jika kita mahu pasarkan produk kita pada masa ini, salah satu cabaran utama adalah perlu mempunyai sijil dan mengikut peraturan berkaitan kemapanan terutamanya di pasaran Eropah,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan nasib para pekebun kecil lada terus terbela, kementeriannya melalui MPB mengambil inisiatif dengan menyemak semula skim-skim bantuan disediakan untuk pekebun komoditi itu.

MPB telah menaikkan had bagi Skim Tanaman Lada Baru (STLB) kepada RM46,000 sehektar berbanding RM26,000 sehektar dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada RM25,000 sehektar berbanding RM13,000 sehektar.

“Proses semakan semula ini bertujuan memastikan pekebun tidak terkesan dengan kenaikan input pertanian,” katanya.

— BERNAMA