KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan hasil bidaan mencecah RM2.04 juta melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) melibatkan nombor siri pendaftaran kenderaan DEL.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata bidaan yang dibuka selama lima hari mulai 21 hingga 25 Julai lepas itu melangkaui sasaran awal RM2 juta.
“Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBid adalah seramai 857,569 dengan jumlah keseluruhan pembida adalah 2,292.
“Harga bidaan tertinggi adalah RM95,088 untuk siri DEL 7 manakala paling banyak dibida adalah DEL 11 membabitkan 14 pembida dengan harga bidaan tertinggi RM58,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan untuk sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Beliau berkata baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum bermula RM300 bagi nombor semasa hingga RM20,000 bagi nombor bernilai utama.
“Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.
“Mereka juga disaran memiliki kata laluan mySIKAP untuk mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan seterusnya membeli secara dalam talian,” katanya.
JPJ Kelantan setakat ini telah merekodkan kutipan hasil bidaan adalah sebanyak RM37,855,689 menerusi perlaksanaan sistem JPJeBID bermula dengan siri DDP hingga DEL.
Sumber: BERNAMA