KOTA BHARU – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyasarkan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang 10,000 kilometer (km) menjelang 2030.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagi tahun ini pihaknya menyasarkan pembinaan 1,000km DSK.
Beliau berkata pembinaan DSK di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan strategi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan punca penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
“Dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.
“Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut juga dapat menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa,” katanya selepas melawat Denai Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian, di sini, semalam.
Nik Nazmi berkata DSK juga berpotensi untuk menyumbang kepada ekopelancongan setempat seperti kewujudan Pasar Terapung Pengkalan Datu yang menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, NRECC dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai,” katanya.
– BERNAMA