Nurmelissa buktikan graduan OKU mampu berjaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS, 2 Nov (Bernama) — Kesukaran dan keperitan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Nurmelissa Mohd Yadi mengharungi sesi pembelajaran berbaloi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Bahasa Arab itu mengalami masalah saraf sejak berusia 11 tahun menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dan terpaksa berkerusi roda sejak di Tingkatan Tiga.

Menurut Nurmelissa, 24, beliau berbangga kerana dapat membuktikan bahawa golongan sepertinya juga mampu berjaya walaupun terpaksa menggandakan usaha dan mengerah lebih keringat berbanding orang biasa.

“Keluarga adalah pencetus motivasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan tabah menghadapi apa jua rintangan terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

“Selain itu sokongan rakan dan para pensyarah juga amat dihargai kerana banyak membantu saya menyelesaikan masalah ketika ketiadaan keluarga di sisi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-14 di sini, hari ini.

Nurmelissa yang bercita-cita untuk menjadi seorang penterjemah berkata beliau berazam untuk memberikan kesenangan kepada ibu bapanya yang telah banyak berkorban wang, tenaga dan masa untuk memastikan beliau berjaya menamatkan pengajian. 

“Bapa saya, Mohd Yadi Taib bekerja sebagai pemandu lori manakala ibu, Saripah Abu Bakar bekerja di kedai makan dekat rumah di Kampung Losong (Kuala Terengganu).

“Saya harap kejayaan kecil ini dapat membanggakan dan menyenangkan mereka selepas sekian lama kami hidup susah,” katanya yang sedang menjalani kursus penterjemahan di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) secara dalam talian.

Beliau berkata kejayaannya itu juga diharap dapat dijadikan sebagai pencetus semangat kepada semua golongan OKU agar sentiasa berusaha memajukan diri dan tidak sesekali berputus asa walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.

Sumber: BERNAMA