SHAH ALAM – Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, terkejut tindakan suaminya berubah fikiran pada saat akhir hingga mengakibatkan proses tuntutan hadanah gagal mencapai kata sepakat, semalam.
Nurul Shuhada berkata, proses perbincangan berlangsung lebih sejam itu gagal, meskipun pada awalnya Hafidz bersetuju dengan segala syarat dibangkitkan.
“Lama tunggu lebih kurang sejam lebih. Bila sudah dapat keputusan dan menunggu masa menandatangani surat persetujuan, tiba-tiba Hafidz keluar dari bilik perbincangan dan masuk semula dengan berkata tidak setuju.
“Awalnya, Hafidz memang sudah bersetuju nak beri saya menjaga anak-anak dan akur dengan syarat tidak boleh bermalam disebabkan Humairah masih dalam keadaan tidak stabil.
“Bila sudah capai kata sepakat dan saya gembira dengan keputusan, tiba-tiba dia keluar berbincang dengan peguam, kemudiannya masuk semula kata tak setuju.
“Tindakannya ini menyebabkan saya menjadi perempuan keji. Dia memang tiada pendirian,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tuntutan hadanah bersama pegawai sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, petang semalam.
Tambah Nurul Shuhada, perbincangan berlangsung dalam suasana damai dan Hafidz kelihatan cukup ceria.
“Sepanjang perbincangan berlangsung, Hafidz kelihatan ceria dan tidak beremosi langsung. Saya tak pandang pun muka dia.
“Apapun terjadi, saya akan terus lawan untuk anak-anak saya,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Shuhada memaklumkan pegawai sulh ada menasihati Hafidz untukmenghubunginya bagi berbincang mengenai anak-anak, namun aktor itu enggan.
“Pegawai sulh pesan untuk menghubungi saya berbincang soal anak-anak. Kena ada usaha berhubung untuk bercakap pasal anak.
“Dia jawab tidak akan hubungi saya. Semua melalui peguam,” katanya.
Terdahulu, prosiding hadanah yang berlangsung semalam gagal menemui jalan penyelesaian dan akan bersambung pada 12 September depan.
Sebelum ini, Nurul Shuhada memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu.
Bagaimanapun, lafaz cerai yang sepatutnya berlaku pada 21 Mac lalu gagal dilaksanakan selepas mahkamah mendapati ada isu baharu berhubung isu lafaz cerai pasangan tersebut.
Dalam pada itu, Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, jam 3.30 pagi pada 2 Mac lalu.
Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga isterinya mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memerintahkan untuk Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikitiari.
Namun, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan ke atasnya layak dibicarakan selepas dimaklumkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru pada 9 Jun lalu.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
– BERITA HARIAN