Nusaibah Binti Ka’ab, Wanita Berani Dalam Perang Uhud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Apabila kita menelusuri sirah, pasti kita melihat banyak kisah tokoh yang amat berani dalam mengikuti perjalanan Baginda SAW dalam penyebaran agama Islam. Semua memainkan peranan penting dan besar dalam meluaskan ajaran Islam sama ada ia adalah tokoh lelaki mahupun tokoh perempuan.

Perkongsian kali ini adalah berkaitan seorang wanita yang sentiasa dikenang keberaniannya terutamanya kisahnya ketika bersama-sama mengikut peperangan Uhud.

Nama penuh beliau ialah Nusaibah binti Ka’ab bin ‘Amru bin ‘Auf. Dalam kita-kitab, beliau juga disebut sebagai Nasibah. Nama gelaran yang terkenal buatnya adalah Ummu ‘Umarah.

Beliau merupakan golongan Ansar yang paling awal memeluk Islam. Beliau telah memeluk Islam ketika Mus’ab bin ‘Umair yang telah diutuskan oleh Baginda SAW untuk mengajar penduduk Madinah Al-Munawwarah.

Beliau juga merupakan seorang wanita yang berbaiat kepada Rasulullah SAW dalam baiat Aqabah kedua. Ketika itu, periwayatan menyebutkan bahawa hanya dua orang wanita sahaja yang terlibat dan salah seorangnya adalah Nusaibah.

Nusaibah merupakan seorang wanita yang berani mengikuti peperangan yang telah disertai oleh kaum Muslimin.

Tugas beliau adalah merawat dan menjaga kebajikan muslim yang menyertai pertempuran tersebut.

Kisahnya yang sangat terkenal adalah ketika menyertai perang Uhud dan disebutkan oleh al-Zahabi dalam kitab Siyar alam al-Nubala.

Pada awal peperangan Uhud, umat Islam merasakan bahawa mereka telah menang sepenuhnya kerana pihak musuh telah bertempiaran lari. Keadaan itu menyebabkan umat Islam leka dan masing-masing meninggalkan kedudukannya.

Kealpaan itu menyebabkan pihak musuh membuat serangan kedua kerana merasakan itu sebagai sebuah peluang untuk mengalahkan umat Islam.

Hal inilah yang menyebabkan Rasulullah SAW diserang. Nusaibah yang melihat kejadian itu dengan beraninya cuba melawan musuh.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dan ahli keluarganya turut membantu menentang musuh ketika berlaku serangan kedua.

Keberanian Nusaibah inilah yang menjadi sebutan sehingga ke hari ini kerana ia membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi hebat.

Kesimpulannya, Nusaibah diriwayatkan meninggal dunia beberapa tahun selepas perang Yamamah. Namun, sejarah hidupnya sehingga kini diingati dan dijadikan inspirasi untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh menjadi hebat jika mempunyai keyakinan dalam diri.

Wallahu a’alam.

Sumber: KISAH NUSAIBAH & TZKRH.COM