MARANG – Pengunjung Pantai Pulau Kekabu di Marang dekat sini, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan penemuan obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese Man o’ War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’, petang semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, obor-obor itu dijumpai sekitar jam 10.30 pagi ketika petugas APM melakukan rondaan rutin harian di sekitar pantai tersebut.
“Hasil tinjauan di sekitar kawasan kemudian berjaya menemukan sebanyak tujuh ekor obor-obor Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ terdampar di pantai.
“Anggota APM telah mengumpulkan semua obor-obor berbahaya ini dan bertindak melupuskan dengan cara menanam ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung,” katanya kepada pemberita.
Mujahid berkata, susulan penemuan itu pihaknya akan meningkatkan rondaan di pesisir pantai terutama di lokasi tumpuan pengunjung.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya memaklumkan sebarang penemuan obor-obor beracun ini kepada petugas pantai supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Walaupun obor-obor yang ditemui sudah mati, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh bangkainya kerana ia masih beracun dan sangat berbahaya. Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Obor-obor ini boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya selain turut menyebabkan melecur pada kulit dan lebih serius, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat segera,” katanya.
Terdahulu penemuan obor-obor berbahaya jenis Portuguese Man o’War di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus merupakan kes pertama direkodkan di pantai tersebut pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata, papan tanda amaran perlu dipasang bagi mengingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai.
“Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat dan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kehadiran haiwan terbabit di kawasan berkenaan,” katanya.
Sumber : BERNAMA