KUALA TERENGGANU – Obor-obor beracun dikenali sebagai portuguese man o’ war atau nama saintifiknya physalia physalis dilihat muncul kembali di persisiran pantai di Terengganu.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hasil tinjauan pada Ahad mendapati terdapat obor-obor itu di sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang.
“Setakat pagi ini kita menemukan empat ekor obor-obor yang terdampar di pantai. Tinjauan masih lagi dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi obor-obor spesies sama yang terdampar di kawasan pantai,” katanya dalam kenyataan, disini, pada Ahad.
Beliau menjelaskan, fasa musim Monsun Timur Laut pada masa ini menjadi antara faktor obor-obor berkenaan terdampar di perairan Pantai Timur.
“Kali terakhir spesies hidupan beracun itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020.
“Kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 obor-obor itu terapung di perairan Lautan Hindi. Ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin. Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika,” katanya.
Dalam pada itu, Ruzaidi meminta orang ramai supaya lebih berwaspada dengan kemunculan hidupan itu.
Katanya, purata panjang sulur sesungut spesies itu boleh mencapai lebih sembilan meter panjang dan diliputi oleh nematocyst yang dipenuhi racun digunakan untuk melumpuhkan, membunuh ikan dan makhluk kecil lain.
Sumber: SINAR HARIAN