Olimpik Paris: Atlet Judo Jepun, Abe Menangis Teresak-Esak Selepas Tewas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BINTANG Judo Jepun, Uta Abe menangis teresak-esak selepas mengalami kekalahan pertama dalam tempoh lima tahun di acara rasmi, tewas secara mengejut dalam pusingan 16 kepada Diyora Keldiyorova dari Uzbekistan melalui ippon di Sukan Olimpik Paris pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Keldiyorova menamatkan pertandingan dengan baki masa lebih tiga minit dalam acara 52 kilogram, meninggalkan juara dunia empat kali dan Juara Olimpik 2021 itu dalam kesedihan.

Abe terjatuh ke dalam pelukan jurulatihnya dan menangis selama beberapa minit, hampir tidak mampu berdiri di arena Champ-de-Mars.

Beliau tidak pernah kalah dalam pertandingan rasmi sejak 2019 dan dianggap sebagai calon utama untuk pingat emas di Paris.

Tiga tahun lepas, dia dan abangnya, Hifumi Abe dalam kelas 66kg, kedua-duanya memenangi emas di Sukan Olimpik Tokyo dalam masa setengah jam. – Bernama