Op Covid-19: JPJ Kelantan keluarkan 1,638 saman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 1,638 saman melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang Op Covid-19 yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 16 Januari lalu.

Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah melibatkan kesalahan teknikal iaitu sebanyak 361, manakala ingkar prosedur operasi standard (SOP) pula sebanyak 24 kesalahan.

Menurutnya, pihaknya turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan SOP PKP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sentiasa dipatuhi terutamanya kepada kenderaan barangan dan perkhidmatan awam.

“Kesalahan ketidakpatuhan kepada SOP PKP yang dikesan seperti semakan dokumen pergerakan, penggunaan fasiliti elektronik, had kapasiti penumpang dan tidak memakai pelitup muka. Kesalahan tersebut diberi amaran dan tidak mengeluarkan saman kepada pesalah.

“Kenderaan perkhidmatan awam seperti teksi, e-hailing, bas ekspres dan bas henti-henti juga perlu menyediakan QR Code MySejahtera, menyediakan cecair pembasmi kuman dan memastikan penumpang bergejala tidak menaiki kenderaan, selain sentiasa memakai pelitup muka,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau hadir membuat pemantauan bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat di sekatan jalan raya (SJR) Tunjong yang merupakan kolaborasi Op Covid-19 PDRM dengan JPJ.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, katanya, urusniaga pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor persendirian tidak ditawarkan di pejabat negeri dan cawangan, selain daripada urusniaga kenderaan perdagangan sahaja yang dibenarkan beroperasi.

“Masyarakat dinasihatkan menggunakan platform dalam talian seperti portal MySikap atau berurusan dengan rakan strategik seperti pejabat Pos dan MYeg bagi tujuan pembaharuan tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian