Operasi cari nelayan jatuh laut ditamatkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) nelayan yang terjatuh ke dalam laut kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng di sini, 8 Ogos lalu, ditamatkan semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pencarian dihentikan selepas tiada tanda penemuan dikesan selepas empat hari operasi dilaksanakan.

Katanya, ahli keluarga kepada mangsa, Ishak Muda, 57 sudah dimaklumkan mengenai situasi operasi.

“Keputusan menamatkan operasi ini juga dengan persetujuan semua pihak serta keluarga mangsa.

“Bagaimanapun,APMM dan agensi lain yang melaksanakan rondaan rutin di lapangan serta komuniti nelayan berhampiran akan meneruskan pemantauan dan memaklumkan sekiranya terdapat tanda penemuan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan laporan, mangsa bersama 16 rakannya keluar ke laut dengan menaiki bot pukat jerut, pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kehilangan mangsa hanya disedari tekong selepas tiba di jeti Kompleks Kemunting di sini, pada 9 Ogos lalu.

Mangsa yang kali terakhir dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju itu dipercayai terjatuh ke dalam laut di lokasi penangkapan ikan.

Sumber: My Metro