Operasi HoSHAS masih terkawal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

uantan: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengesahkan keadaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh masih terkawal walaupun berlaku penularan Covid-19 di hospital itu.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, setakat ini, aktiviti kawalan sedang dilaksanakan bagi menghentikan penularan jangkitan wabak itu.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 37 kes jangkitan dikesan di hospital itu dan penularan berlaku di wad biasa bukannya di wad yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

“Penilaian risiko sudah dilakukan kepada semua yang terbabit manakala kontak rapat kepada kes positif dibuat saringan Covid-19 dan diasingkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagi memastikan keselamatan semua pesakit baharu dan pelawat, beliau berkata, semua wad sudah ditutup untuk kemasukan baharu kecuali bagi kes kritikal iaitu dua wad multidisiplin.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan kecemasan, perbidanan (obstetrik) dan paediatrik masih beroperasi.

“Semua pesakit yang tidak kritikal tetapi memerlukan kemasukan ke hospital akan dialihkan ke hospital pakar lain di Pahang,” katanya.

Katanya, pihaknya juga ingin memaklumkan aktiviti kawalan dan pencegahan sedang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan di HoSHAS yang ditutup secara sementara dapat dibuka semula secara berperingkat.

“Ia bagi membolehkan perkhidmatan itu beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.

Khamis lalu, JKN Pahang menafikan HoSHAS ditutup akibat kes Covid-19 seperti yang tular di media sosial.

Sebaliknya, penutupan sementara hanya membabitkan bahagian tertentu iaitu klinik pakar, Unit Rawatan Harian, Unit Hemodialisis dan Jabatan Rehalitasi.

Sumber: My Metro