Raub: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak tegas dengan memusnahkan kebun durian Musang King seluas 101 hektar yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam, di sini semalam.
Pengarah JPNP, Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi bersepadu selama sebulan bermula semalam hingga bulan depan itu membabitkan pelbagai agensi dan tertumpu dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.
Menurutnya, dalam operasi semalam tumpuan diberikan kepada aktiviti rondaan dan tangkapan individu yang memasuki hutan simpan tanpa kebenaran.
“Unit penguat kuasa JPNP dibahagikan kepada beberapa kumpulan, mereka melakukan rondaan dan tangkapan selain turut menjalankan kerja penandaan zon kawasan tebangan yang bermula kelmarin.
“Kita perlu bertindak tegas dalam memastikan aktiviti menceroboh Hutan Simpan Batu Talam tidak terus berlaku pada masa akan datang,” katanya, di sini hari ini.
Mohd Hizamri berkata, dalam operasi semalam, seramai empat individu masing-masing membabitkan dua pekerja warga asing dan tempatan ditahan kerana menceroboh hutan simpan.
Katanya, mereka akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kami turut menyita masing-masing sebuah motosikal, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Land Rover,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui yang hadir bersama beberapa pekebun ke kawasan sekatan semalam mendakwa pekebun sudah mendapat kebenaran mahkamah sebelum ini untuk masuk ke kebun berkenaan.
Katanya, kira-kira 20 pekebun yang mengusahakan kawasan berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu mengalami kerugian apabila buah durian Musang King yang mula gugur tidak dapat dijual.
Katanya, pekebun juga sudah membuat laporan polis terhadap larangan mereka memasuki kawasan kebun durian bagi mengutip hasil.
Sumber: My Metro