Orang Asli Di Pedalaman Gua Musang Nikmati Jaringan Telekomunikasi Lebih Baik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Keprihatinan kerajaan dalam menyediakan jaringan telekomunikasi serta capaian Internet yang baik kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman merupakan berita gembira buat mereka.

Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan kerja naik taraf di 35 stesen pemancar dan perkhidmatan jalur lebar menerusi Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sembilan penempatan Orang Asli di daerah ini.

Jurucakap MCMC berkata pelaksanaan kerja naik taraf ini melibatkan penempatan Orang Asli di sekitar Tanah Tinggi Lojing, Pos Pulat, Pos Tohoi, Pos Simpor, Pos Blau, Pos Lebir, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Hau, Pos Pasik, Pos Bihai, Pos Gob, dan Kuala Betis.

“Kerja-kerja naik taraf yang melibatkan 17 pemancar telah siap dilaksanakan di 23 kawasan, manakala 18 perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi (broadband wireless access @ BWA) juga telah selesai dilaksanakan di 18 kawasan perkampungan Orang Asli di daerah ini. Pelaksanaan adalah di bawah Projek JENDELA Fasa 1,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata MCMC selaku badan penyeliaan industri komunikasi dan multimedia akan turut membina sembilan lagi menara telekomunikasi menerusi JENDELA.

“Sebanyak sembilan menara baharu dalam pelaksanaan yang melibatkan lokasi di Kampung Jias, Kampung Sangwai, Kampung Jekjok, Kampung Kerbok, Kampung Sendrop, Kampung Rengil, Kampung Bahong, Kampung Jedip dan penempatan Orang Asli di Aring 5.

“Penduduk Orang Asli di kawasan ini dijangka menikmati kemudahan Internet menjelang suku pertama tahun hadapan,” katanya.

Keprihatian kerajaan dalam memahami kehendak masyarakat Orang Asli amat dihargai termasuk suku kaum Temiar di Pos Simpor yang sangat bersyukur atas kemudahan asas yang disediakan untuk mereka meskipun tinggal jauh di kawasan pedalaman.

Jimi Arifin, 42, berkata meskipun penempatannya berjarak sejauh hampir 100 kilometer (km) dari bandar Gua Musang, dengan kemudahan elektrik dan Internet yang terdapat di sini, mereka masih dapat berhubung dengan dunia luar dan mengetahui perkembangan semasa.

Katanya, selain menara JENDELA yang terletak di Kampung Simpor, terdapat juga pencawang telekomunikasi di Kampung Subang yang terletak pada jarak 10 km dari pencawang JENDELA berkenaan.

“Terima kasih kerajaan kerana prihatin terhadap kebajikan kami. Kami dapat menggunakan elektrik dan dari tahun lepas dapat guna Internet walaupun tinggal jauh di sini, kerana itu juga kami tetap dapat berkomunikasi dengan mereka yang tinggal di luar.

“Capaian Internet pada waktu malam dan pagi boleh dikatakan berkelajuan tinggi, kami dapat menonton video, menghantar dan menerima hantaran gambar serta video dengan lancar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Dendi Johari berkata langkah kerajaan yang tidak meminggirkan Orang Asli dalam memastikan capaian Internet yang baik di pedalaman telah memberi kesenangan dan keselesaan kepada penduduk di pos berkenaan.

“Apabila adanya kemudahan Internet ini memudahkan penduduk kampung berinteraksi dengan keluarga jauh dan dekat, malah amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang mengambil perhatian dan melaksanakan pembangunan. Kita harap selepas ini banyak lagi pembangunan akan dilaksanakan terutamanya kemudahan jalan dari Pos Simpor ke Kuala Betis,” katanya.

— BERNAMA