GUA MUSANG: Program Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, hari ini, menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli di kawasan itu untuk membuat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda bulan ini.
Penduduk Kampung Jas A, Rumi Yasin, 30, berkata beliau membelanjakan lebih RM150 untuk membeli pelbagai keperluan asas pada program jualan itu.
“Apabila tiba musim tengkujuh, kami susah hendak keluar kerana hanya ada motosikal. Jadi, saya bersama bapa datang ke program ini untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan bahan basah.
“Program jualan ini menawarkan harga lebih murah, jadi dapatlah kami berjimat membeli keperluan untuk persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di RPS Kuala Betis.
Beliau berkata, program sedemikian diharap akan diteruskan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup, terutama golongan Orang Asli.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata inisiatif kerajaan mengadakan program Jualan Rahmah Kasih Sayang dapat membantu penduduk luar bandar menangani kos sara hidup.
– BERITA HARIAN